Thoriqussalaf
Thoriqussalaf oleh admin

faedah ilmiah dari daurah al-ustadz usamah mahri – meniti bimbingan ulama pewaris nabi (bahagian 2)

9 tahun yang lalu
baca 6 menit
Faedah Ilmiah dari Daurah al-Ustadz Usamah Mahri – Meniti Bimbingan Ulama Pewaris Nabi (Bahagian 2)

🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂

📚 Faedah Ilmiah dari Daurah al-Ustadz Usamah Mahri:
📍Banjarbaru, Kalimantan Selatan
📆 Ahad, 6 Rabi’ul Awwal 1436H / 28 Disember 2014M
📕Meniti Bimbingan Ulama Pewaris Nabi

🔹Telah disemak dan dibenarkan untuk disebarkan oleh al-Ustadz Usamah Mahri🔹

✳ SESI PERTAMA: Tanya Jawab

▪Kita harus bersyukur kepada Allah bila kita menyedari bahawa Allah menginginkan kita berjalan bersama bimbingan kibar ulama. Kerana itu termasuk dalam perkara Allah inginkan kebaikkan kepada kita. Sebaliknya pula, jika Allah tidak berikan taufiq kepadanya, dia pilih dengan jalannya sendiri dan menyimpang dari jalan kibar ulama.
▪Syaikh Ubaid ketika mensyarahkan hadits Nabi, “dan serigala itu mudah memangsa kambing yang jauh dari kelompoknya”, berkata siapa di antara kita yang disebut sebagai kambing yang menyendiri itu? Mereka itu adalah mereka yang berjalan di atas jalan mereka sendiri dan menyelesihi jalannya kibar ulama.
▪Mengapa sering diingatkan supaya kembali kepada kibar ulama? Kerana di masa fitnah tidak semua ulama dapat dipercaya dan dipegangi. Tetapi orang-orang tertentu yang telah Allah pilih sebagai panutan bagi umat, Allah selamatkan umat dengan sikap dan istiqamahnya mereka.

✳ SESI KEDUA: Pentingnya Mengambil Ilmu Dari Kibar Ulama

▪Salah satu manfaat mengambil ilmu dari kibar ulama adalah antaranya kita dapat belajar adab dan akhlak dari mereka. Al-Imam Yahya Ibnu Katsir berkata kita ini lebih memerlukan adab walaupun sedikit berbanding banyaknya ilmu namun tidak dihiasi dengan adab dan akhlak yang mulia. Padahal dengan adab dan akhlak yang baik itulah menjadi perhiasan bagi seorang alim.
▪Di majlisnya Imam Ahmad, diceritakan yang hadir lebih dari 5000 orang. Tetapi dari mereka yang hadir tidak semuanya thulabul ilmi. Hanya sekitar 500 orang dari kalangan thulabul ilmi, selebihnya adalah orang awam yang hadir untuk melihat dan belajar bagaimana tindak tanduknya, tutur katanya, ibadahnya, adabnya untuk mereka ikuti.
▪Kita seharusnya mengambil tauladan dari kibar ulama secara menyeluruh, termasuk dari adab dan akhlaknya. Bertentangan dengan itu, orang yang tidak mengambil contoh dari ulama kibar, sering ada kesombongan pada dirinya, tertipu dengan dirinya dan menganggap dirinya sudah besar serta mudah memperlecehkan orang lain.
▪Syaikh Rabi’ katakan, dakwah yang banyak diterima umat dan tersebar setelah petunjuk dan pertolongan dari Allah, adalah dari sebab adab dan akhlak para ulama yang mendakwahkannya. Ketenangan, kebijaksanaan, sopan santun. Islam dilihat kebesarannya dengan akhlak para ulamanya.
▪Seperti kisahnya Aisyah, ketika seorang yahudi memberikan salam kepada Nabi dengan ucapan “asam alaykum” (kehancuran/kematian buat kamu), lalu Aisyah menjawab “kehancuran buat kamu dan laknat Allah ke atas kamu”. Lalu Rasulullah menegur Aisyah agar beliau bersabar dan berlemah lembut. Kerana apabila sesuatu itu telah hilang kelembutan padanya, maka ianya akan menjadi buruk.
▪Begitu pula dengan kisah Ali bin Abi Thalib. Satu ketika Ali kehilangan baju besinya. Baju tersebut dijumpai oleh seorang yahudi lalu dijualnya di pasar. Datang Ali ke pasar menuntut kembali bajunya itu. Tetapi yahudi itu enggan menyerahkannya dan mengatakan baju itu miliknya. Kemudian hal ini diangkat kepada hakim. Hakim lalu meminta bukti dari Ali yang menyatakan baju itu miliknya. Ali tidak mempunyai bukti. Lalu hakim memutuskan baju itu milik si yahudi itu. Mendengar hal itu, si yahudi langsung berdiri dan mengucapkan syahadah serta mengaku bahawa baju itu adalah milik Ali, kerana dia melihat akhlak seorang Khalifah yang berlaku adil.
▪Dakwah ini banyak terhalang sebab akhlak yang buruk. Hilangnya adab kepada orang yang lebih tua darinya, orang yang lebih lemah darinya. Kalau disampaikan kepada mereka agar berhikmah dan beradab ketika berdakwah, kamu akan dituduh sebagai seorang yang lembik dalam berdakwah. Ini musibah.
▪Di dalam sebuah hadits, Allah telah memuliakan orang yang telah putih rambut dan janggutnya. Allah memerintahkan kita menghormati mereka. Lebih utama lagi kepada orang-orang yang tua bukan saja pada umurnya, tetapi pada ilmunya. Cara kita menghormati mereka adalah dengan merujuk kepada mereka dan mengambil tauladan dari mereka.
▪Bala dan musibah akan muncul apabila kibar ulama ini tidak lagi dihormati, dan menganggap diri mereka sudah setaraf dengan kibar ulama. Contohnya, ketika Abdul Aziz al-Bura’i berkata, “pertanyaan terbuka saya tujukan kepada Syaikh Ubaid, sekarang siapa yang boleh dijadikan rujukan di Yemen?”. Dia mengganggap Syaikh Ubaid itu setaraf dengan mereka dengan pertanyaan sedemikian.
▪Lihat contoh dari Ibnul Mubarak, ketika dia dimuliakan sebanding dengan para tokoh tabi’in, tetapi beliau tidak mengizinkan untuk disamakan dengan tokoh-tokoh tersebut kerana merasa rendah diri.
▪Imam Ahmad berkata, kita diperintah untuk tawadhu’ kepada orang yang kita belajar darinya.
▪Demikian syariat mengajarkan kita agar mencontohi para kibar ulama. Seperti Abu Dawud menyerupai Ahmad bin Hambal. Ahmad menyerupai Waki’. Waki’ menyerupai Sufyan ats-Tsauri. Sufyan menyerupai Ibrahim an-Nakha’i. Ibrahim menyerupai al-Qomah an-Nakha’i. Al-Qomah menyerupai Aswad an-Nakha’i. Aswad menyerupai Ibnu Mas’ud. Ibnu Mas’ud menyerupai Rasulullah.
▪Atas sebab itu Rasulullah katakan, keberkatan itu ada pada orang-orang tua (kibar ulama) kalian. Al-Munawi berkata, mereka itu adalah orang yang telah banyak pengalaman dalam hidupnya, dakwahnya, sehingga diketahui orang yang paling semangat untuk mendapatkan pahala. Duduklah bersama mereka, agar kalian dapat mengambil tauladan dari mereka. Barakah itu bersama mereka.
▪Kibar ulama ini boleh diibaratkan sebagai doktor pakar. Tidak semua doktor dapat dipercaya. Tetapi jika doktor yang pakar itu dia lebih mengetahui dan banyak pengalaman. Begitu pula dengan ulama, para kibar ulama itu lebih luas pengalamannya dan banyak mengetahui.
▪Jadi, kibar ulama itu adalah sebagai jalan untuk kita ketahui al-haq was sunnah dengan selamat. Tidak ada jalan yang ringkas yang selamat dapat menghantar kita kepada Sunnah dan Thoriqus Salaf (jalannya Salaf), melainkan dengan mengikuti bimbingan kibar ulama. Oleh itu, orang yang ingin menjaga aqidah dan manhajnya, jangan menelusuri jalan yang tidak pasti yang dapat mengancamnya. Ikutilah jalannya kibar ulama.

Bersambung insyaAllah, Sesi Ketiga.

📚 WhatsApp طريق السلف 📚